ORANG yang tidak gembira, lebih gemar 'melekat' di kaca televisyen berbanding mereka yang gembira. Penemuan ini didapati daripada satu tinjauan terhadap lebih 30,000 rakyat dewasa Amerika yang dilakukan dari tahun 1975 hingga 2006.
Jadi, selepas ini, jika anda melihat seseorang terlalu banyak menonton televisyen berbanding orang lain, mungkin boleh disimpulkan bahawa dia tergolong dalam kalangan individu yang tidak gembira.
Ketika mereka yang gembira dilaporkan menonton televisyen purata 19 jam seminggu, orang yang tidak gembira didapati menonton purata 25 jam seminggu. Keputusan tersebut dilakukan selepas mengambil kira aspek pendidikan, pendapatan, usia dan status bujang atau sudah berkahwin.
Tambah mereka lagi, individu yang gembira lebih aktif dan bersosial, mengikuti aktiviti keagamaan, lebih banyak membaca akhbar berbanding mereka yang sebaliknya.
Bagaimanapun, pengkaji tidak dapat memastikan sama ada perasaan tidak gembira menyebabkan mereka gemar menonton televisyen atau dengan banyak menonton, itu akan membuatkan mereka tidak gembira.
"Data menunjukkan bahawa TV boleh menyebabkan penonton be rasa seronok untuk jangka masa pendek tetapi ia memberi kesan kepada perasaan tidak selesa dalam jangka masa panjang," kata pengkaji, John Robinson, seorang ahli sosiologi di University Maryland.
Menurutnya, mungkin juga, televisyen menjadi tempat mereka untuk melepaskan kedukaan.
"TV bukanlah sesuatu yang memerlukan seseorang berfikir. Jadi, manusia yang mempunyai kemahiran sosial yang kurang atau tidak seronok melakukan aktiviti lain boleh terus menontonnya," ujar Robinson dan rakan-rakannya dalam laporan jurnal Social Indicators Research.
Mereka menambah: "Rasa duka yang kronik boleh menjejaskan kerja dan menyebabkan seseorang tidak mahu bersosial. Jadi, orang yang tidak gembira akan menghiburkan dirinya secara pasif dengan menonton televisyen."
Namun begitu, para pengkaji berkata, kajian susulan perlu dilakukan untuk melihat hubungan antara televisyen dan kegembiraan.
No comments:
Post a Comment